UM Home | Faculties, Academies, Institutes & Centres | Home | Tahfiz Al-Quran Symposium | Versi Melayu | Latar Belakang

Latar Belakang

LATAR BELAKANG SIMPOSIUM


        Malaysia sangat mengambil berat terhadap pendidikan tahfiz al-Quran. Hal ini dibuktikan dengan penubuhan Darul Quran pada tahun 1966, selepas beberapa tahun penubuhan Persekutuan Malaysia, sebagai institusi pendidikan tahfiz al-Quran rasmi pertama di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia bermula sebagai kelas pengajian tahfiz al-Quran yang terletak di Masjid Negara, hinggalah sampai ke tahap yang ada pada hari ini, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berkepakaran dalam pendidikan tahfiz al-Quran.

Usaha Malaysia memartabatkan pendidikan tahfiz al-Quran tidak terhenti setakat itu sahaja. Bahkan pada waktu ini pihak JAKIM yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), sedang sibuk menyiapkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN). Hal ini di tambah lagi dengan inisiatif kerajaan untuk memperbaiki dan menyatukan kurikulum tahfiz al-Quran, agar produk pendidikan tahfiz yang cemerlang serta berkemampuan tinggi dalam memikul risalah Islam dan membangunkan negara dapat dihasilkan.

Justeru, penganjuran Simposium Tahfiz al-Quran Peringkat Antarabangsa pada waktu ini adalah sangat penting. Hal ini kerana ia mampu menyumbangkan dapatan-dapatan ilmiah dan amali kepada pihak berwajib, lantas membantu mereka merangka dasar-dasar pendidikan tahfiz negara yang tepat, serta membentuk kurikulum tahfiz yang sempurna dan seimbang, selari dengan keperluan masa. Begitu jugalah, penganjuran simposium antarabangsa ini bersempena dengan sambutan jubli emas Darul Quran, menjadikannya lebih bermakna, lebih-lebih lagi dalam usaha kerajaan memperkasakan peranan Darul Quran daripada sekadar pusat pengajian kepada Pusat Rujukan Pengajian Tahfiz al-Quran di Malaysia.

 

[Last update: 20-08-2016]
CCM 2.0 EDi - Copyright © 2008 - 2017 University of Malaya, 50603 Kuala Lumpur, MALAYSIA. http://www.um.edu.my